Saturday, December 7, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan pelarian Afghanistan berkumpul di sempadan

    ISLAMABAD, 1 NOV – Puluhan ribu pelarian Afghanistan yang tinggal di Pakistan kini mula berkumpul di sempadan untuk pulang ke negara asal yang dilanda konflik, susulan tindakan tegas Islamabad ke atas pendatang tanpa izin, walaupun terdapat bantahan global.

    “Lebih 10,000 warga Afghanistan telah menyeberangi sempadan semalam dan kami menjangkakan 25,000 lagi hari ini,” kata Fazal Rabi, Timbalan Ketua agensi pelarian Pakistan, kepada agensi berita Jerman (dpa).

    Lebih 100 keluarga masing-masing terdiri daripada kira-kira 30 orang anggota dilihat berada dalam barisan lori di Torkham, satu daripada dua lintasan sempadan utama antara Pakistan dan Afghanistan, menurut Rabi.

    Polis metropolis di selatan Karachi dan wilayah barat laut Khyber-Pakhtunkhwa juga mula menangkap warga Afghanistan tanpa izin hari ini selepas tarikh akhir sebulan diberikan untuk mereka pulang secara sukarela tamat, kata pegawai itu.

    “Kami mula menangkap pendatang tanpa izin,” kata Irfan Baloch, seorang pegawai polis di Karachi, bandar yang menempatkan lebih tiga juta pelarian Afghanistan.

    Tindakan keras juga telah bermula di Khyber-Pakhtunkhwa dan bandar utamanya Peshawar, kata pegawai polis tempatan, Kashif Aftab kepada dpa.

    Bulan lepas, Pakistan mengumumkan pengusiran kira-kira 1.7 juta pelarian Afghanistan di negara itu, yang dikritik Barat dan kumpulan hak asasi manusia global.

    Aktivis mendakwa polis turut mengganggu mereka yang mempunyai dokumen sah atau sedang menunggu penempatan semula mereka di Amerika Syarikat dan negara lain selepas Taliban mengambil alih Afghanistan pada 2021. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda