GORIS, ARMENIA, 25 SEPT – Ribuan pelarian dari Nagorno-Karabakh telah memasuki Armenia hari ini, ketika presiden Azerbaijan dan sekutunya, Turkiye, mengadakan satu sidang kemuncak yang menandakan kemenangan Baku ke atas wilayah pemberontak minggu lalu.
Ketika Azerbaijan mempamerkan sokongan serantaunya, Rusia membalas serangan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan selepas dia menyalahkan Moscow atas kekalahan wilayah terasing itu.
Beberapa hari selepas peperangan, pelarian pertama tiba di Armenia kelmarin dan setakat ini, 4,850 orang telah memasuki negara itu, kata pihak Yerevan hari ini.
Wartawan AFP melihat pelarian berkerumun ke hab kemanusiaan yang didirikan di sebuah teater tempatan di bandar Goris bagi mendaftar untuk pengangkutan dan perumahan.
“Kami melalui hari-hari yang mengerikan,” kata Anabel Ghulasyan, 41, dari kampung Rev, yang dikenali sebagai Shalva dalam bahasa Azeri.
Dia tiba di Goris bersama keluarganya dengan bas mini, membawa barang-barangnya di dalam beg.
Armenia dan Azerbaijan telah terlibat dalam dua peperangan yang ditandai dengan pemindahan paksa di kedua-dua belah pihak dalam tiga dekad yang lalu ke atas Nagorno-Karabakh. – AFP
