KANDAHAR, AFGHANISTAN, 25 JULAI – Lebih 22,000 buah keluarga Afghanistan telah melarikan diri dari kediaman mereka untuk mengelak pertempuran di kubu bekas Taliban, Kandahar, kata para pegawai hari ini, ketika pihak berkuasa menangkap empat yang disyaki pemberontak berhubung serangan roket minggu ini ke atas Kabul.
Sejak awal Mei, keganasan telah memuncak di beberapa wilayah termasuk di Kandahar selepas pemberontak melancarkan serangan mendadak beberapa hari selepas pasukan asing diketuai AS mula membuat pengunduran terakhir.
Serangan maut Taliban telah menyaksikan pemberontak menawan beberapa daerah, penyeberangan sempadan dan mengepung beberapa bandar wilayah lain.
“Pertempuran itu telah memindahkan lebih 22,000 keluarga bulan lalu di Kandahar,” kata Dost Mohammad Daryab, ketua jabatan pelarian wilayah memberitahu AFP.
“Mereka semua berpindah dari daerah bergolak ke kawasan lebih selamat.”
Hari ini, pertempuran masih berlaku di pinggir bandar Kandahar.
“Kecuaian beberapa pasukan keselamatan, terutamanya polis telah membuka laluan kepada Taliban untuk mendekati kawasan itu,” kata Lalai Dastageeri, timbalan gabenor wilayah Kandahar kepada AFP.
“Kami sekarang cuba untuk mengatur pasukan keselamatan kami.”
Pihak berkuasa telah mendirikan empat buah kem bagi orang yang berpindah yang dijangka sekitar 154,000.
Penduduk Kandahar, Hafiz Mohammad Akbar berkata rumahnya telah diambil alih oleh Taliban selepas dia melarikan diri.
“Mereka memaksa kami untuk pergi….Saya kini tinggal bersama 20 ahli keluarga lain di sebuah kawasan yang tidak ada tandas,” kata Akbar.
Penduduk menyuarakan kebimbangan pertempuran akan bertambah hebat beberapa hari akan datang.
“Jika mereka mahu berperang, mereka bertempur saja di padang pasir bukan memusnahkan bandar. Walaupun mereka menang, mereka tidak dapat memerintah bandar berhantu (kosong),” kata Khan Mohammad yang berpindah ke sebuah khemah bersama keluarganya. – AFP