Saturday, December 7, 2024
29.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan penduduk dipindah menjelang Taufan Yinxing

    MANILA, 7 NOV – Filipina telah memindahkan ribuan penduduk dari kawasan pesisir menjelang kedatangan taufan besar, kata pegawai hari ini, hanya beberapa minggu selepas siklon tropika menyebabkan sekurang-kurangnya 150 kematian.

    Taufan Yinxing, dengan kelajuan angin maksimum 175 kilometer sejam, dijangka melanda bahagian utara Filipina pada akhir hari ini atau awal Jumaat, menurut agensi cuaca negara.

    Ia adalah ribut ketiga dalam tempoh kurang sebulan yang mengancam Filipina selepas Ribut Tropika Trami dan Taufan Kong-rey yang bersama-sama mengakibatkan 158 kematian, kebanyakannya disebabkan oleh Trami, kata agensi bencana negara.

    Sekurang-kurangnya 17,000 penduduk dari kawasan pesisir di wilayah Cagayan, di bahagian paling utara negara itu, telah berpindah ke pusat perlindungan sementara kelmarin bagi mengelakkan banjir akibat hujan lebat yang sedang melanda kawasan tersebut, kata pegawai penyelamat wilayah, Rueli Rapsing, kepada AFP.

    “Saya menjangkakan lebih ramai penduduk akan tiba kerana proses pemindahan masih berlangsung di beberapa kawasan perbandaran,” kata Rapsing.

    Agensi cuaca nasional menyatakan bahawa Cagayan, yang menempatkan sekitar 1.3 juta penduduk, mungkin akan mengalami kesan paling teruk daripada Taufan Yinxing berdasarkan laluan ribut terkini.

    “Kami telah kehabisan dana respons segera wilayah dan kini kami sedang memohon kepada majlis bencana negara untuk memperbaharui dana tersebut agar kami dapat memberikan bantuan,” kata Rapsing.

    Di wilayah Ilocos Norte berhampiran Cagayan, pasukan penyelamat bersiap sedia untuk membantu polis tempatan, anggota bomba, dan tentera dalam tindakan kecemasan, menurut pegawai penyelamat wilayah, Randy Nicolas, kepada AFP.

    Nicolas berkata mereka sedang memantau dengan teliti kemungkinan tanah runtuh, banjir, dan limpahan sungai di wilayah tersebut, dengan gelombang ribut yang mencetuskan ombak besar di sepanjang pantai turut menjadi kebimbangan di Ilocos Norte dan Cagayan.

    Pegawai bencana di wilayah pergunungan Apayao pula memaklumkan bahawa hampir 500 orang telah dipindahkan.

    “Kami benar-benar memberi keutamaan kepada pemindahan awal kerana kami mahu memastikan tiada kematian di Apayao,” kata pegawai bencana wilayah, Aldrin Agmata, kepada AFP.

    Sekolah-sekolah di banyak kawasan utara telah ditutup dan Presiden Ferdinand Marcos telah mengarahkan semua agensi kerajaan berada dalam keadaan siap siaga tinggi agar dapat memberi respon dengan cepat.

    “Ingat, setiap nyawa adalah penting, jadi kita harus sentiasa bersedia,” kata Marcos dalam kenyataan kelmarin. – AFP

    – Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda