Ribuan penduduk Georgia elak lockdown

TBILISI, 15 APRIL – Ribuan penduduk Georgia hari ini bergegas keluar dari ibu negara Tbilisi sebelum perintah berkurung dikenakan sebagai sebahagian daripada langkah pembendungan untuk memerangi wabak koronavirus.

Lebuh raya penuh sesak di pintu keluar dari Tbilisi tatkala keluarga meninggalkan bandar beramai-ramai, memilih menghabiskan masa mereka di rumah desa. Semalam, Perdana Menteri Georgia Giorgi Gakharia mengarahkan keadaan darurat dan kuarantin yang dikenakan pada bulan lalu dilanjutkan sehingga 10 Mei, juga mengharamkan kemasukan dan keluar dari empat bandar utama, Tbilisi, Rustavi, Batumi dan Kutaisi – selama 10 hari bermula malam ini.

Georgia setakat in melaporkan 306 kes COVID-19 dan tiga kematian, salah satu kadar paling rendah di Eropah.

Di bawah syarat kuarantin asal, penduduk dibenarkan menggunakan kereta mereka pada siang, asalkan tidak mempunyai lebih daripada tiga orang dalam sebuah kenderaan.

“Kami terpaksa meninggalkan negeri hari ini disebabkan bandar akan dikenakan ‘lockdown’ pada malam ini,” beritahu penduduk Tbilisi Tinatin Kapanadze, 24, kepada AFP. “Lebih baik pergi ke kampung dan bukannya terkurung dalam pangsapuri.”

Pada hari ini, Menteri Kesihatan Ekaterine Tikaradze berkata hospital Georgia tidak dapat menghadapi dan mengatasi penyebaran koronavirus besar-besaran kerana negara itu tidak mempunyai doktor rawatan rapi yang mencukupi untuk merawat ribuan pesakit COVID-19 dalam keadaan serius. – AFP

Gambar menunjukkan deretan kereta meninggalkan Tbilisi kelmarin. – AFP