JAKARTA, 25 Jun – Ribuan warga kota yang tidak pulang ke kampung halaman mengambil peluang menyambut ketibaan 1 Syawal dengan mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri dihoskan Presiden Joko Widodo di Istana Kepresidenan di sini hari ini.
Media-media dalam talian melaporkan Presiden Indonesia itu buat julung kali menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri yang turut dikunjungi oleh barisan menteri Kabinet, orang kenamaan serta masyarakat daripada pelbagai lapisan.
Sebelum itu,Presiden Joko Widodo, yang lebih mesra disapa Jokowi, serta Naib Presiden, Jusuf Kalla menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama ribuan jemaah di Masjid Istiqlal di sini.
Majoriti umat Islam di Indonesia menyambut Hari Raya Aidilfitri hari ini manakala segelintir umat Islam khususnya pengikut jemaah Tariqat Naqsabandiyah Al-Kholidiyah Jalaliyah di Sumatera Utara dan pengikut An-Nadzir di Sulawesi Selatan telah menyambut 1 Syawal semalam.
Mereka ini telah berpuasa sehari terlebih dahulu kerana tidak bersetuju dengan kaedah penetapan tarikh mula berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri yang ditetapkan oleh kerajaan.
Seperti kelaziman, jutaan penduduk meninggalkan ibu negara untuk pulang berhari raya di kampung namun mereka yang tidak sempat pulang menyambut Aidilfitri secara sederhana tetapi meriah dengan menziarahi saudara mara serta menghadiri majls rumah-rumah terbuka.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan isteri Datin Seri Che Mahani Ismail mengunjungi majlis rumah terbuka Menteri Luar, Retno Marsudi di Jalan Widya Chandra di sini.
Beliau disambut oleh Retno dan suaminya, Agus Marsudi dan sebelum menyertai majlis jamuan bersama duta-duta asing di Indonesia.
Bagaimanapun, pagi Aidilfitri di Medan tercemar dengan serangan pengganas di pos keselamatan Ibu Pejabat Polis Daerah Medan apabila seorang anggota polis maut akibat ditikam oleh dua lelaki yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh.
Ketua Bahagian Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, Setyo Wasisto dipetik oleh media-media dalam talian sebagai berkata, Martua Sigalingging mati di tempat kejadian dengan tiga kesan tikaman pada bahagian badan dalam serangan jam 3 pagi tadi.
Katanya, dua lelaki, yang tidak dikenali, melaungkan takbir dan melompat masuk ke dalam pos berkenaan sebelum menikam anggota keselamatan itu.
Polis Pasukan Khas Medan, yang menyedari serangan itu, terus melepaskan beberapa das tembakan terhadap kedua-dua suspek dengan seorang daripada mereka terbunuh manakala rakanya cedera parah.
Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki terbabit mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh, kata Setyo. – Bernama