LOS ANGELES, 7 OGOS – Beribu-ribu penumpang udara Amerika Syarikat (AS) terkandas di lapangan terbang kelmarin selepas United Airlines menunda banyak penerbangan susulan masalah pada seluruh sistem.
Penerbangan talian utama yang bergerak antara hab utama telah ditunda selama lebih satu jam sebelum jurutera dapat memulihkan keadaan dan menyambung semula operasi.
“Kami sedang bekerjasama dengan para pelanggan untuk membawa mereka ke destinasi selepas gangguan teknologi pada petang kelmarin,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
“Isu teknologi asas telah diselesaikan dan sementara kami menjangkakan baki penundaan, pasukan kami sedang berusaha untuk memulihkan operasi seperti biasa.”
Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan, yang mengawal selia penerbangan di AS, telah mengeluarkan arahan kepada pesawat untuk kekal berada di landasan di beberapa buah lapangan terbang utama.
Perintah yang menjejaskan lapangan terbang di Denver, Newark, Houston dan Chicago hanya digunakan untuk United Airlines, kata laman web FAA.
Gangguan itu merupakan masalah terbaharu yang melanda sektor penerbangan Amerika.
Bulan lalu Alaska Airlines mengalami masalah IT yang menyebabkan pesawatnya berada di landasan selama beberapa jam.
Itu berlaku selepas sistem kawalan trafik udara terjejas di lapangan terbang kawasan Newark lebih daripada sekali tahun ini, menjejaskan kepercayaan para penumpang terhadap sistem itu. – AFP


