
ANTALYA, 30 JULAI – Ribuan permaidani dan karpet kilim yang dibentangkan di bawah sinaran matahari membentuk permadani warna-warni bak kaleidoskop yang meriah di pinggir kota Antalya, sebuah bandar pelancongan pantai di selatan Turkiye.
Dari bulan Jun hingga September, di kawasan ladang yang telah dituai dan dibersihkan, para peniaga membawa karpet-karpet mereka untuk “diperam” di bawah matahari – bagi memudarkan sedikit warna-warna semula jadi yang terang dan menghilangkan unsur-unsur yang tidak diingini.
Hasan Topkara mencuci karpet dan permaidani yang diperbuat daripada benang bulu, yang datang dari seluruh pelusuk Turkiye. Beliau kemudian mengeringkannya, merapikan hujung dan helaian yang terkeluar jika perlu, sebelum membentangkannya di atas tanah terbuka selama tiga bulan.
Bulu tersebut, yang diwarnakan menggunakan pewarna tumbuhan semula jadi, akan berubah kepada tona pastel dan menjadi lebih lembut apabila terdedah kepada embun pagi dan terik mentari siang.
Menurut Topkara, pada masa dahulu, sehingga 60,000 helai permaidani diproses setiap musim pengeringan selama tiga bulan di daerah Dosemealti. Namun kini, beliau antara yang terakhir masih menjalankan tradisi ini, dengan kira-kira 15,000 helai permaidani disusun rapat-rapat di kawasan seluas 40 hektar (100 ekar).
Sekitar 50 orang pekerja mengawasi karpet-karpet ini siang dan malam, memusingkannya secara berkala serta memantau keadaan cuaca. Jika hujan turun, sekitar 100 orang penduduk dari kampung sekitar akan datang membantu melipat permaidani-permaidani itu.
Dalam masa 45 minit, semuanya perlu disimpan di tempat terlindung, dan akan dibentangkan semula selepas hujan reda.
Setelah mencapai rona warna yang diingini, kebanyakan permaidani dihantar ke Istanbul dan Grand Bazaar yang bersejarah di sana, sebelum dieksport ke luar negara.
Lama-kelamaan, ladang berwarna-warni milik Topkara ini menjadi tarikan pelancongan, terutamanya selepas penyanyi pop Turkiye, Mabel Matiz, merakam video muzik untuk lagunya Sarmaşık di lokasi tersebut pada tahun 2018. – AFP


