BEIJING, 13 JUN – Pihak berkuasa China di pulau selatan Hainan telah memindahkan ribuan penduduk, menutup sekolah serta menghentikan perkhidmatan kereta api menjelang jangkaan pendaratan Taufan Wutip hari ini, menurut laporan media rasmi.
Lebih 16,000 orang telah dipindahkan dari ‘tapak pembinaan, kawasan rendah yang mudah banjir dan kawasan berisiko banjir kilat’, lapor agensi berita Xinhua, manakala lebih 40,000 pekerja di atas bot telah dibawa naik ke darat.
Menurut Xinhua, Taufan Wutip dijangka membawa hujan lebat melebihi 100 milimeter di enam bandar dan daerah serta angin kencang sehingga 63 batu sejam.
Hainan telah menghentikan perkhidmatan kereta api laju dan bandar paling selatan, Sanya, telah menutup sekolah serta lokasi pelancongan.
Wutip merupakan taufan pertama yang melanda negara itu tahun ini, terbentuk di Laut China Selatan pada Rabu lalu, menurut Pentadbiran Meteorologi China (CMA).
Taufan itu mungkin akan mendarat sekali lagi di sepanjang pantai barat Guangdong hingga ke Guangxi esok, dengan mengekalkan ‘intensiti ribut tropika teruk’ sebelum beralih ke arah timur laut dan perlahan-lahan melemah, tambah CMA.
China telah mengalami rentetan cuaca ekstrem sejak beberapa tahun kebelakangan ini daripada panas melampau dan kemarau hingga hujan lebat dan banjir.
Negara itu merupakan penyumbang gas rumah hijau terbesar di dunia, namun juga kuasa besar tenaga boleh diperbaharui, dengan sasaran mengurangkan pelepasan karbon dioksida kepada sifar bersih menjelang tahun 2060. – AFP
