MANILA, 3 NOV – Ribuan penduduk telah dipindahkan di wilayah pesisir Filipina hari ini, menjelang taufan yang dijangka melanda wilayah yang sering alami ribut paling dahsyat di negara itu.
Taufan Kalmaegi sedang dalam perjalanan ke pulau Leyte, membawa angin selaju 120 kilometer sejam dan boleh mencapai sehingga 150 kilometer sejam, menurut perkhidmatan cuaca kebangsaan.
“Pemindahan sedang dijalankan di Palo dan Tanauan,” kata pegawai bencana Leyte, Roel Montesa yang menyebut dua bandar paling teruk terjejas apabila Taufan Super Haiyan melandan dan mengorbankan lebih 6,000 orang pada tahun 2013.
Ribuan penduduk juga telah dipindahkan sejak kelmarin di pulau jiran Samar, di mana ombak setinggi tiga meter diramalkan, menurut pegawai pertahanan awam, Randy Nicart.
“Sesetengah kerajaan tempatan sedang melaksanakan pemindahan paksa, termasuk bandar Guiuan, di mana ribut itu berkemungkinan akan melanda,” katanya.
Filipina dilanda purata sebanyak 20 ribut dan taufan setiap tahun, yang secara rutin melanda kawasan yang terdedah di mana berjuta-juta orang hidup dalam kemiskinan.
Dengan taufan Kalmaegi, pakar perkhidmatan cuaca negeri Charmaine Varilla memberitahu AFP sekurang-kurangnya ‘tiga hingga lima kali lagi’ ribut boleh dijangka menjelang akhir Disember.
Di selatan Leyte, di wilayah Kepulauan Dinagat, gabenor Nilo Demerey berkata 10,000 hingga 15,000 orang telah dipindahkan awal ke kawasan yang lebih selamat.
“Kami telah melaksanakan pemindahan awal sejak dua hari lalu, sementara ada masa,” katanya kepada AFP.
Pegawai bencana, Joy Conales berkata penduduk bandar Loreto di Dinagat diarahkan untuk berpindah ke kawasan yang lebih tinggi.
Pekan tersebut mempunyai benteng ‘pemecah ombak’ setinggi satu tingkat yang bertujuan untuk melindungi pusat bandar daripada ombak besar.
Para saintis memberi amaran bahawa ribut semakin kuat disebabkan oleh perubahan iklim yang didorong oleh manusia.
Filipina telah dilanda dua ribut besar pada September lalu, termasuk Taufan Super Ragasa yang menumbangkan pokok dan merobek bumbung bangunan serta mengorbankan 14 mangsa di negara jiran Taiwan. – AFP


