Tuesday, October 1, 2024
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan protes pembunuhan ketua Hizbullah di Pakistan

    ISLAMABAD, 30 SEPT – Ribuan orang mengadakan protes di bandar-bandar Pakistan kelmarin selepas kumpulan yang disokong Iran, Hizbullah, mengesahkan bahawa ketuanya telah terbunuh dalam serangan udara Israel di Lubnan.

    Pada Sabtu, Hizbullah berkata Hassan Nasrallah terbunuh dalam serangan di pinggir bandar selatan Beirut sehari sebelumnya, memberikan tamparan hebat kepada kumpulan yang dipimpinnya selama puluhan tahun.

    Kira-kira 4,000 orang berkumpul di ibu kota Pakistan, Islamabad dan 3,000 di bandar pelabuhan selatan Karachi semasa perhimpunan dan solat jenazah untuk Nasrallah yang diketuai oleh kumpulan Islam Syiah.

    “Kami menentang apa yang dilakukan oleh Israel di Palestin dan Lubnan. Inilah sebabnya kami berada di sini hari ini,” kata Taskeen Zafar semasa perhimpunan di Islamabad.

    Pembunuhan Nasrallah menandakan peningkatan mendadak dalam hampir setahun pertempuran rentas sempadan antara Hizbullah dan Israel, dan berisiko mencetuskan perang di wilayah yang lebih luas.

    “Pakistan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel yang semakin meningkat di Timur Tengah,” kata Kementerian Luar Negeri Pakistan dalam satu kenyataan kelmarin.

    “Tindakan melulu pembunuhan Setiausaha Agung Hizbullah di Lubnan semalam memburukkan lagi situasi di wilayah yang sudah bergolak.” – AFP

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda