Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan rakyat Filipina bantah skandal projek banjir palsu

    MANILA, 21 SEPT – Ribuan rakyat Filipina turun ke jalan raya di Manila hari ini bagi membantah skandal projek tebatan banjir palsu yang didakwa menelan berbilion dolar wang pembayar cukai.

    Kemelut yang dikenali sebagai projek infrastruktur hantu itu semakin hangat diperkatakan sejak Presiden Ferdinand Marcos menekankannya dalam ucapan negara pada Julai, susulan banjir besar yang meragut nyawa.

    Marcos sebelum ini berkata dia tidak menyalahkan rakyat kerana mengadakan demonstrasi, namun menggesa ia berlangsung secara aman. Protes hari ini bermula dengan perhimpunan damai di Taman Luneta yang dihadiri hampir 50,000 orang, menurut anggaran pihak berkuasa bandar.

    Polis melindungi diri mereka daripada batu yang dilemparkan oleh penunjuk perasaan berhampiran Istana Malacanang di Manila hari ini. – AFP

    Bagaimanapun, insiden terpencil berlaku apabila sekumpulan pemuda melempar batu dan botol ke arah polis serta membakar tayar berhampiran jambatan menuju istana presiden. Polis menahan 17 individu dalam kejadian itu. Tidak lama selepas itu, polis menggunakan meriam air bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan bertopeng di lokasi berasingan.

    Sementara itu, ribuan lagi menyertai demonstrasi di Lebuhraya EDSA, lokasi bersejarah yang pernah menjadi pusat gerakan rakyat menggulingkan bekas diktator Marcos pada 1986.

    Seorang peserta, Mitzi Bajet, 30, berkata dia jarang menyertai perhimpunan tetapi kali ini merasakan perlu tampil menyuarakan bantahan.

    Pengerusi gabungan kiri Bagong Alyansang Makabayan, Teddy Casino, pula menegaskan tuntutan mereka termasuk pemulangan dana yang diseleweng serta hukuman penjara terhadap pihak terbabit.

    “Rasuah menuntut rakyat turun ke jalan raya bagi menunjukkan kemarahan, dengan harapan dapat mendesak kerajaan melaksanakan tanggungjawab mereka,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda