BAABDA, LUBNAN, 3 NOV – Ribuan penyokong presiden Lubnan berkumpul hari ini untuk menunjukkan sokongan, selepas bantahan anti-rasuah di seluruh negara selama dua minggu yang melumpuhkan kerajaan.
Mereka memberikan penghormatan kepada Presiden Michel Aoun di luar ibu negara, sebelum satu lagi demonstrasi yang dirancang di Beirut untuk menuntut pembaik pulih menyeluruh terhadap sistem politik yang dianggap tidak cekap dan korup.
Di bandar Baabda, penyokong jeneral bersara yang menjadi pemimpin negara itu memenuhi jalan raya sepanjang dua kilometer menuju ke istana presiden, kata seorang wartawan AFP.
Peminat presiden mengibar bendera Lubnan dan sepanduk parti politik warna jingga yang ditubuhkan oleh beliau, Gerakan Patriotik Bebas, tambah beliau.
“Kami berada di sini, Jeneral. Kami tidak akan meninggalkan anda selagi kami masih hidup,” kata satu poster, memberi respons kepada gerakan rentas sektarian meminta penggal beliau ditamatkan.

Beberapa penyokong Aoun memakai kemeja-T warna jingga sementara yang lainnya memegang potret presiden berusia 84 tahun itu.
“Jeneral Aoun ialah seorang reformis dan orang yang ikhlas – bukan korup mahupun pencuri,” kata seorang penyokong yang memberikan namanya sebagai Diana.
“Terdapat rasuah dalam kerajaan selama 30 tahun. Presiden tidak bertanggungjawab. Beliau cuba membanteras rasuah,” katanya.
Di Baabda, penyokong Aoun berkata mereka menyokong tuntutan pembantah di seluruh negara, namun menegaskan presiden merupakan satu-satunya orang yang mampu melaksanakan pembaharuan.
Ribuan pembantah antikerajaan berkumpul di bandar utara Tripoli pada malam semalam, kebanyakan mereka dari kawasan lain dalam negara. – AFP