Sunday, May 11, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan rakyat Malaysia ke Hatyai sempena musim cuti

    BANGKOK, 1 JAN – Pelawat dari Malaysia ke Hatyai, bandar raya di selatan Thailand yang meriah, meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang setiap hari semasa Krismas dan musim cuti hujung tahun, menyumbang lebih 2 bilion Baht kepada ekonomi tempatan dalam tempoh dua minggu sebelum tahun berakhir.

    Presiden Persatuan Hotel-Hotel Songkhla, Hatyai (Hatyai Songkhla Hotels Association), Sitthipong Sitthiprapha berkata daya tarikan Hatyai yang tidak dapat dinafikan terletak pada gabungan pilihan makanan yang enak dan beraneka, akses yang mudah

    dan pilihan penginapan pada harga berpatutan yang menarik minat ramai rakyat Malaysia.

    Beliau berkata Hatyai telah mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi kegemaran bagi penggemar pelancongan yang mencari percutian yang menarik dan mesra bajet.

    Pada hari biasa sepanjang tahun, beliau berkata Hatyai pada kebiasaannya menikmati aliran stabil kira-kira 5,000 pelawat Malaysia setiap hari, meningkat dua kali ganda kepada hampir 10,000 pada hujung minggu.

    “Hatyai mengalami peningkatan yang ‘menggembirakan’ dalam bilangan pengunjung dari Malaysia sepanjang musim cuti hujung tahun.

    “Pada hujung minggu musim puncak (Krismas dan Tahun Baru), Hatyai menerima purata 20,000 rakyat Malaysia setiap hari, manakala pada hari biasa terdapat kira-kira 10,000 pelawat,” katanya kepada Bernama.

    Sitthipong juga menyatakan hotel Hatyai telah menyaksikan lonjakan permintaan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan penginapan di pusat bandar, kawasan popular untuk pelancong Malaysia, ditempah sepenuhnya semasa kemuncak minggu percutian. – Bernama

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda