GEORGE TOWN, 17 OGOS – Suasana di Terminal Pelayaran Jeti Swettenham (SPCT) di sini hari ini meriah dengan kehadiran ribuan pengunjung yang begitu teruja untuk naik dan meneroka keadaan di dalam kapal tentera laut dari negara ASEAN termasuk Malaysia.
Program yang diadakan sempena ASEAN Navies’ City Parade (ANCP) dan sambutan Hari Buletin 4.0 anjuran kerajaan negeri itu, berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat termasuk keluarga, pelajar sekolah dan peminat dunia ketenteraan untuk melihat sendiri kecanggihan aset pertahanan maritim serantau.
Bagi pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Fauzi Bakar, 68, pengalaman menaiki kapal tentera laut ASEAN hari ini sangat istimewa kerana meskipun pernah berkhidmat selama 21 tahun, dia tidak pernah berpeluang menaiki kapal perang milik negara asing.
Mohd Fauzi yang pernah berkhidmat di bahagian persenjataan berkata tahap teknologi dan keupayaan kapal tentera laut negara ASEAN lain yang dipamerkan adalah setanding dengan aset yang dimiliki Malaysia.
“Mereka (ASEAN) memiliki kapal yang canggih dengan pelbagai jenis senjata, nampaknya ia setanding dengan negara kita, cuma peluang menaiki kapal mereka ini sudah pasti satu pengalaman baharu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di SPCT di sini hari ini.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutchings di sini, S. Lajelen, 19, berkata dia dan 40 rakan sekolahnya sangat teruja apabila berpeluang melihat sendiri teknologi ketenteraan negara serantau terutama dari segi kelengkapan senjata mereka.
“Kami sangat teruja kerana ini pertama kali dapat naik kapal tentera laut, dengan teknologi dan sistem pensenjataan yang canggih. Sebelum ini kapal negara sendiri pun kami tidak pernah naik apatah lagi kapal tentera laut negara orang, jadi ini peluang keemasan yang tidak akan dilepaskan,” katanya.
Sebanyak 10 kapal tentera laut negara ASEAN termasuk tiga kapal TLDM berada di SPCT bagi menyertai acara ketenteraan bersempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025. – Bernama


