KATHMANDU, 10 MAC – Ribuan penyokong menyambut ketibaan bekas raja Nepal di ibu negara Kathmandu kelmarin dan menuntut agar sistem pemerintahan beraja yang dimansuhkan itu dikembalikan serta agama Hindu dijadikan agama rasmi negara.
Dianggarkan 10,000 penyokong Gyanendra Shah menyekat pintu masuk utama ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tribhuvan di Kathmandu semasa beliau tiba dari lawatan ke barat Nepal.
“Kosongkan istana untuk raja. Kembalilah raja, selamatkan negara. Lanjut usia raja tercinta kami. Kami mahu monarki,” laung orang ramai. Penumpang terpaksa berjalan kaki ke dan dari lapangan terbang.
Ratusan polis anti rusuhan menghalang penunjuk perasaan daripada memasuki lapangan terbang dan tiada keganasan berlaku.
Protes besar-besaran pada tahun 2006 memaksa Gyanendra melepaskan pemerintahan autoritariannya dan dua tahun kemudian, parlimen mengundi untuk memansuhkan monarki apabila Gyanendra meninggalkan Istana Diraja untuk menjalani kehidupan sebagai orang biasa.
Namun, ramai rakyat Nepal semakin kecewa dengan republik, mengatakan ia gagal membawa kestabilan politik dan menyalahkannya atas ekonomi yang merosot dan rasuah yang berleluasa. Nepal telah memiliki 13 kerajaan sejak monarki dimansuhkan pada 2008.
Peserta perhimpunan berkata mereka berharap untuk melihat perubahan dalam sistem politik bagi menghentikan negara daripada terus merosot.
“Kami di sini untuk memberikan sokongan penuh kepada raja dan berjuang bersama-sama untuk mengembalikan semula takhta diraja,” kata Thir Bahadur Bhandari, 72 tahun.
Antara ribuan penyokong itu termasuk seorang tukang kayu berusia 50 tahun, Kulraj Shrestha, yang pernah menyertai protes pada tahun 2006 menentang raja tetapi kini telah berubah fikiran dan menyokong sistem monarki. – AP
