JAKARTA, 21 FEB – Beribu-ribu rakyat Indonesia berhimpun di seluruh negara hari ini untuk membantah pemotongan belanjawan oleh kerajaan Presiden Prabowo Subianto yang bertujuan membiayai program makan percuma dan janji kempen besar-besaran lain.
Langkah penjimatan yang diumumkan oleh Prabowo hujung bulan lalu menyebablam ribuan penunjuk perasaan dalam kalangan pelajar yang berhimpun di seluruh bandar Indonesia awal minggu ini, disokong oleh gerakan media sosial dikenali sebagai ‘Indonesia Gelap.’
Prabowo telah mengarahkan pemotongan belanjawan dalam usaha untuk menjimatkan 306.7 trilion rupiah (AS$18.8 bilion) untuk perbelanjaan pejabat, upacara dan pelancongan, di samping menyebabkan beberapa penjawat awam terpaksa bekerja di bawah cahaya redup akibat syarat ketat tentang penjimatan tenaga di pejabat.
Bekas jeneral Prabowo, yang memegang jawatan Oktober lalu, berkata beliau mahu mengumpul kira-kira AS$46 bilion daripada pemotongan perbelanjaan dan dengan mengambil daripada dividen perusahaan milik kerajaan.
Penganalisis berkata pemotongan itu mungkin akan mengalihkan dana kepada program seperti rancangan makan percuma AS$4.3 bilion untuk kanak-kanak sekolah bagi memerangi pertumbuhan yang terbantut, dan dana kekayaan negara yang baharu.
Seruan untuk menyertai protes anti-penjimatan tersebar luas di media sosial minggu ini, disertai dengan cadangan untuk tidak hadir bekerja hari ini.
Penunjuk perasaan berhimpun di bawah sepanduk ‘Indonesia Gelap’ hari ini di beberapa buah bandar, termasuk ibu kota Jakarta dan bandar kedua terbesar di Indonesia, Surabaya.
Di Yogyakarta, ratusan orang berkumpul di pusat bandar untuk melakukan bantahan tersebut. – AFP
