KATHMANDU, 8 SEPT – Ribuan anak muda Nepal berarak di ibu kota Kathmandu, hari ini, menuntut kerajaan menarik balik larangan terhadap platform media sosial serta menamatkan budaya rasuah yang berleluasa di negara itu.
Beberapa laman media sosial termasuk Facebook, YouTube dan X tidak dapat diakses di Nepal sejak Jumaat lalu selepas kerajaan menyekat 26 platform yang tidak berdaftar, menyebabkan pengguna berang dan keliru.
Platform popular seperti Instagram mempunyai jutaan pengguna di Nepal yang bergantung kepadanya untuk hiburan, berita dan perniagaan.
Sambil mengibarkan bendera kebangsaan, para penunjuk perasaan Generasi Z memulakan demonstrasi dengan menyanyikan lagu kebangsaan sebelum melaungkan slogan membantah larangan media sosial dan rasuah.
“Kami digerakkan oleh larangan media sosial tetapi itu bukan satu-satunya sebab kami berkumpul di sini,” kata seorang pelajar, Yujan Rajbhandari, 24 tahun.

“Kami memprotes rasuah yang telah diinstitusikan di Nepal.”
Seorang lagi pelajar, Ikshama Tumrok, 20 tahun, berkata beliau menentang ‘sikap autoritarian’ kerajaan.
“Kami mahu melihat perubahan. Generasi sebelum ini mungkin menanggungnya, tetapi ia mesti berakhir dengan generasi kami,” katanya kepada AFP.
Sejak larangan itu, video yang membandingkan kesusahan rakyat biasa dengan gaya hidup mewah anak-anak ahli politik – mempamerkan barangan mewah dan percutian mahal – menjadi tular di TikTok, yang masih beroperasi.
“Terdapat gerakan di luar negara menentang rasuah dan mereka (kerajaan) bimbang ia mungkin berlaku di sini juga,” kata seorang penunjuk perasaan, Bhumika Bharati.
Kabinet bulan lalu memutuskan untuk memberi tempoh tujuh hari kepada syarikat yang terlibat untuk mendaftar di Nepal, menubuhkan pusat hubungan, serta melantik pegawai pengendalian aduan dan pegawai pematuhan yang menetap di negara itu.
Keputusan itu dibuat susulan arahan Mahkamah Agung pada September tahun lalu. – AFP

