Friday, January 3, 2025
33.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan rumah ditenggelami air

    HANOI, 15 NOV – Bandar purba Vietnam, Hue, sebuah tapak warisan yang terkenal dengan pelancong, ditenggelami air hari ini selepas hujan lebat menenggelamkan ribuan rumah dan menyekat lebuh raya.

    Gambar yang diterbitkan oleh media kerajaan menunjukkan penduduk meredah jalan-jalan yang dibanjiri dengan bot, sementara rumah dan kereta sebahagiannya tenggelam.

    “Banjir di mana-mana, dengan air meningkat dengan cepat sejak malam kelmarin,” kata penduduk Hue, Vu An kepada AFP, sambil menambah bahawa kuasa telah terputus di bandar.

    Hujan lebat telah melanda beberapa buah wilayah di sepanjang pantai sejak Isnin.

    Lebih daripada 2,000 orang telah meninggalkan rumah mereka di wilayah Quang Tri, di mana tiga orang hilang, kata pihak berkuasa hari ini.

    Beberapa bahagian lebuh raya yang menghubungkan Vietnam bahagian utara dan selatan juga telah terhalang oleh tanah runtuh akibat banjir.

    Vietnam sering dilanda cuaca buruk pada musim hujan antara bulan Jun dan November.

    Peramal kaji cuaca berkata paras air mungkin kekal tinggi untuk dua hari akan datang sebelum bertambah baik hujung minggu ini.

    Menurut angka rasmi, bencana alam termasuk banjir dan tanah runtuh telah menyebabkan 136 orang mati dan hilang di Vietnam tahun ini.

    Para saintis telah memberi amaran bahawa peristiwa cuaca yang melampau di seluruh dunia menjadi lebih sengit dan kerap disebabkan oleh perubahan iklim.- AFP

    Orang ramai menaiki bot dan meredah banjir di bandar Hue, 15 November.- AFP

     

     

     

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda