MEXICO CITY, 16 NOV – Bandar Raya Mexico dibanjiri ribuan penunjuk perasaan kelmarin membantah jenayah, rasuah dan kekebalan daripada hukuman dalam demonstrasi yang dianjurkan oleh ahli Generasi Z, yang juga disokong kuat oleh penyokong parti pembangkang daripada rakyat yang lebih tua.
Demonstrasi itu pada mulanya aman tetapi berakhir dengan beberapa orang muda bertempur dengan polis. Penunjuk perasaan menyerang polis dengan batu, bunga api, kayu dan rantai, merampas perisai polis dan peralatan lain.
Setiausaha keselamatan ibu kota, Pablo Vázquez, berkata 120 orang cedera, 100 daripadanya pegawai polis. Dua puluh orang telah ditangkap.
Di beberapa negara tahun ini, ahli kumpulan demografi yang lahir antara akhir 1990-an dan awal 2010-an telah menganjurkan protes menentang ketidaksamaan, kemunduran demokratik dan rasuah.
“Kami mahu banyak keselamatan,” kata Andres Massa, seorang perunding perniagaan berusia 29 tahun yang membawa bendera tengkorak lanun yang telah menjadi simbol global protes Gen Z.
Arizbeth Garcia, seorang doktor berusia 43 tahun yang menyertai protes itu berkata beliau berarak untuk mendapatkan lebih banyak dana untuk sistem kesihatan awam dan untuk keselamatan yang lebih baik kerana doktor, “juga terdedah kepada rasa tidak selamat yang mencengkam negara, di mana awda boleh dibunuh dan tiada apa yang berlaku.”
Minggu ini beberapa pempengaruh media sosial ‘Gen Z’ berkata mereka tidak lagi menyokong protes kelmarin sementara tokoh-tokoh warga emas seperti bekas Presiden Vicente Fox dan jutawan Mexico, Ricardo Salinas Pliego memberi mesej untuk menyokong protes tersebut.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum dikatakan terlibat dalam beberapa siri pembunuhan berprofil tinggi baru-baru ini termasuk pembunuhan seorang datuk bandar yang popular di negeri barat Michoacan, Carlos Manzo.
Beberapa hari sebelum protes, Sheinbaum menuduh parti lawan cuba masuk ke dalam gerakan Gen Z dan menggunakan bot di media sosial untuk meningkatkan kehadiran.
Perarakan kelmarin dihadiri oleh orang ramai dari beberapa peringkat umur termasuk penyokong Manzo yang hadir dengan memakai topi jerami melambangkan pergerakan politiknya.
“Negeri ini sedang nazak,” kata Rosa Maria Avila, seorang ejen hartanah berusia 65 tahun yang turut serta.”Dia dibunuh kerana menghantar pegawai ke pergunungan untuk melawan pesalah. Dia berani berhadapan dengan mereka,” katanya mengenai Manzo.
Protes Gen Z terbesar berlaku di Nepal pada bulan September susulan larangan media sosial dan seterusnya menyebabkan peletakan jawatan perdana menteri negara itu. – AP


