LOS ANGELES, 2 MEI – Beribu-ribu orang berkumpul di pusat bandar Los Angeles (LA), California, Amerika Syarikat (AS) kelmarin untuk menyertai perarakan Hari Pekerja Antarabangsa, yang dianjurkan oleh Gabungan May Day Los Angeles, untuk memperjuangkan hak pekerja dan pendatang.
Hari Pekerja Antarabangsa, juga dikenali sebagai May Day di AS, berlaku setiap tahun pada 1 Mei.
Ia bermula selepas peristiwa Haymarket Chicago Affairs pada 1886 di mana pekerja menyertai mogok nasional yang menyokong lapan jam bekerja sehari.
Lazimnya, bantahan dan perhimpunan May Day di LA memperingati pencapaian kesatuan sekerja dan pekerja.
Namun kali ini, demonstrasi yang dirancang itu menjadi platform untuk membantah desakan pengusiran pentadbiran Trump terhadap komuniti pendatang.
Beribu-ribu organisasi masyarakat, kesatuan pekerja dan aktivis hak asasi manusia memenuhi jalanan di pusat bandar LA sejak pagi kelmarin dengan poster, baju kesatuan dan sepanduk bertulis “Satu perjuangan, Satu perjuangan – Pekerja bersatu.”
Yolanda Mims-Reed memberitahu media tempatan LAist.com bahawa dia berada di sana, untuk, ‘”berdiri dalam solidariti” untuk perkara yang “perlu diperjuangkan.”
“Kami memerlukan gaji yang adil. Kami memerlukan pekerjaan kami untuk tidak diberi kepada pihak luar. Kami memerlukan hak imigresen,” katanya.
“Kami tidak mahu mereka membawa ICE ke kampus kami dan kami juga memerlukan gaji yang setimpal dan dihormati.”
Yvonne Wheeler, presiden Persekutuan Buruh LA memberitahu LAist bahawa mesejnya adalah satu perpaduan.
“Pendatang dihantar pulang dan pekerja diserang, jadi kami perlu kekal bersatu dan bersatu padu antara satu sama lain,” katanya. “Satu perjuangan, satu mesej, para pekerja bersatu hari ini.”
Beberapa perhimpunan lain untuk meraikan Hari Pekerja Antarabangsa turut diadakan di bandar-bandar lain di seluruh California Selatan kelmarin.- Xinhua
