Tuesday, January 7, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan sertai perarakan tahunan terbesar di Afrika

    CAPE TOWN, 5 JAN – Ribuan peserta berpakaian kostum berwarna-warni berarak meriah melalui Cape Town dalam karnival berusia lebih 100 tahun, yang berakar daripada sejarah perhambaan di bandar itu, menarik ribuan penonton, kelmarin.

    Dalam pakaian seragam berkilauan, lengkap dengan topi, payung dan solekan wajah yang mencolok, para peserta berjalan dan menari melalui pusat bersejarah Cape Town dalam acara tahunan yang diiktiraf sebagai perarakan terbesar seumpamanya di Afrika, menurut penganjur.

    Perarakan Tahun Baharu ini meraikan komuniti berbilang kaum Cape Town, iaitu keturunan hamba yang dibawa dari Afrika, Asia Barat Daya dan wilayah Lautan Hindi selepas bandar itu diteroka oleh Belanda pada 1650an.

    Pihak penganjur memaklumkan bahawa 18 pasukan yang terdiri daripada kira-kira 20,000 peserta mengambil bahagian dalam acara tahun ini, melibatkan pelbagai peringkat umur dan diiringi muzik trompet, trombon dan tamborin.

    Menurut Muneeb Gambeno, pengarah Persatuan Karnival Kaapse Klopse yang menganjurkan acara itu, perarakan rasmi pertama diadakan pada tahun 1907, beberapa dekad selepas perhambaan dimansuhkan di Cape Town pada 1834.

    “Sama seperti Karnival Notting Hill di London, ia merupakan acara terbesar seumpamanya di benua Afrika,” katanya kepada penyiar SABC. – AFP

    Para peserta semasa mengambil bahagian dalam acara Karnival Minstrel Tahunan di Cape Town, Afrika Selatan, pada 4 Januari. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda