TEL AVIV, 5 Feb – Ribuan orang awam mengadakan perhimpunan di bandar Israel Tel Aviv petang kelmarin dalam bantahan terhadap pemusnahan bangunan yang menyasarkan penduduk Palestin di Israel, dengan para penunjuk perasaan menganggap kempen pemusnahan bangunan itu sebagai “bersifat perkauman” dan satu tindakan “hasutan” terhadap warga Palestin.
Para penunjuk perasaan dilaporkan meminta Menteri Israel bagi Keselamatan Awam, Gilad Erdan untuk meletak jawatan kerana “menipu” orang awam Israel, mengatakan dia bertanggungjawab atas pembunuhan yang berlaku ketika satu serbuan untuk memindahkan komuniti Bedouin rantau Negev bulan lepas.
Guru matematik tempatan di Umm al-Hiran Yacoub Abu al-Qian ditembak mati pada 18 Januari oleh polis sebelum pihak berkuasa Israel memusnahkan lebih daripada puluhan struktur bangunan di perkampungan itu, dengan pihak berkuasa mendakwa dia menjalankan serangan kenderaan sengaja, dalam percanggahan terhadap beberapa laporan saksi dan bukti video kereta berada di luar kawalan hanya selepas pihak polis melepaskan tembakan terhadapnya.
Sekitar 5,000 warga Palestin dan orang-orang Yahudi mengikuti perarakan itu kelmarin, membuat perjalanan dari Baitulmaqdis dan seluruh Israel bagi membantah pemusnahan itu dan dasar-dasar diskriminasi negara Israel terhadap warga Palestin secara amnya.
Ahli-ahli jawatankuasa setempat dari Umm al-Hiran juga turut serta, dengan sekurang-kurangnya empat bas dipenuhi warga Palestin dan orang-orang Yahudi dari Negev tiba untuk turut serta dalam perhimpunan itu.
Para penunjuk perasaan menunjukkan poster-poster dalam Bahasa Arab dan Ibrani, termasuk slogan: “Apabila kerajaan menentang orang awam, orang awam akan menentang kerajaan,” “Sudah cukup bagi sifat perkauman kerajaan…kami meminta kesaksamaan,” dan “Yahudi dan Arab bersama, kami menentang fahaman fasisme.”
Balu Abu al-Qian, Amal Abu Saad, mengutuk dasar-dasar perkauman kerajaan Israel, yang menurutnya membawa kepada kematian yang tidak perlu terhadap suaminya dan pegawai polis yang mati selepas dilanggar oleh kereta Abu al-Qian.
Dia menekankan permintaan yang dibuat oleh keluarganya sebelum ini, meminta bagi siasatan terhadap serbuan berdarah itu dan berkata bahawa dia tetap percaya dalam kemungkinan hidup bersama dalam keamanan dan kesaksamaan,” meskipun atas kehilangan yang dialaminya.
“Sejak insiden itu, tidak ada sesiapapun bercakap kepada kami dan menerangkan apa yang berlaku,” laman berita Israel Ynet memetik beliau sebagai berkata. “Kami adalah warga Israel dan kami mahu dilayan dengan rasa hormat. Saya mahu menjadi seperti orang lain. Saya mahukan kehormatan yang mereka berikan kepada penduduk Amona. Kami meminta bagi kebenaran di sebalik insiden itu.” – NNN