Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Feb – Ribuan peserta menzahirkan rasa bangga dan cintakan negara mereka apabila cuaca panas terik tidak mematahkan semangat serta komitmen mereka untuk memberikan yang terbaik untuk memastikan persembahan terbaik bagi Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-33, Tahun 2017 yang akan berlangsung pada 23 Februari di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan semasa raptai penuh acara sambutan yang diadakan, hari ini.
Acara sambutan yang penuh bersejarah bagi semua peserta berkenaan akan menyaksikan keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja pada majlis sambutan yang akan diadakan nanti.
Hadir untuk menyaksikan acara perbarisan dan persembahan bagi acara sambutan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Sebanyak 133 buah pasukan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan serta kumpulan pencapaian cemerlang seramai kira-kira 23,000 orang mengambil bahagian dalam acara sambutan berkenaan.
Semasa raptai penuh berkenaan, majlis turut menyaksikan acara Lafaz Ikrar Hari Kebangsaan oleh seramai 33 orang pembaca Ikrar serta persembahan bertema ‘Menjayakan Wawasan Negara’ oleh seramai 7,133 orang peserta yang mewakili pelbagai sektor dan agensi pembangunan negara termasuk para belia yang mewakili sekolah-sekolah menengah, maktab-maktab dan institusi pengajian tinggi.


Di akhir raptai penuh berkenaan, Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi menyatakan penghargaan atas komitmen serta mutu persembahan daripada semua peserta yang mengambil bahagian dalam acara sambutan berkenaan.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan acara sambutan berkenaan di mana komitmen yang ditonjolkan itu, menunjukkan semangat cinta pada negara serta patriotisme yang tinggi dalam sama-sama untuk ‘Menjayakan Wawasan Negara.’
Yang Berhormat Pehin ketika menyampaikan ucapan penghargaannya kepada para peserta sambutan, juga yakin bahawa semangat semua peserta acara sambutan akan terus berkobar dan tidak akan kendur malah mereka akan terus mempersiapkan diri untuk membuat persembahan yang terbaik, terunggul serta akan menjadi ristaan sejarah untuk diri mereka sendiri dan negara.

Beliau berkata lagi bahawa kejayaan acara sambutan adalah kejayaan bagi semua yang terlibat dalam sama-sama memeriahkan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33 iaitu baik yang berada di barisan hadapan mahupun mereka yang berkhidmat di belakang tabir atau barisan.
Semua itu adalah selaras dengan tema acara sambutan iaitu ‘Menjayakan Wawasan Negara,’ di mana ia diharap dapat memberikan penekanan secara holistik kepada semua lapisan rakyat terutama golongan belia bagi sama-sama memainkan peranan dalam membantu merealisasikan Wawasan Brunei 2035.
Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-33, 2017 merupakan sambutan yang sangat penting bagi peserta-peserta yang terlibat khususnya dalam menzahirkan ketaatsetiaan yang tidak berbelah bahagi kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mendokong kepimpinan bijaksana Baginda serta kerajaan Baginda selain dapat memperlihatkan semangat patriotisme, perpaduan yang jitu kepada rakyat dan penduduk negara khususnya bahkan kepada masyarakat serantau dan dunia amnya.