Friday, January 17, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribuan spesies pupus dalam 236 tahun

    CANBERRA, 10 DIS – Ribuan spesies invertebrat asli Australia telah pupus dalam tempoh 236 tahun sejak penjajahan, menurut satu kajian baharu yang diterbitkan oleh Universiti Charles Darwin (CDU) hari ini.

    Kajian tersebut bertujuan untuk menganggarkan bilangan spesies invertebrat bukan marin yang hanya ditemui di Australia dan telah pupus sejak ketibaan penjajah Eropah pada tahun 1788.

    Ketua penyelidik dari CDU, John Woinarski berkata pasukan yang terdiri daripada 10 saintis dari seluruh Australia menganggarkan kira-kira 9,111 spesies invertebrat endemik berkemungkinan telah pupus dalam tempoh 236 tahun tersebut.

    Bagaimanapun, setelah mengambil kira kekurangan pengetahuan dan ketidakpastian, beliau berkata angka sebenar adalah sekurang-kurangnya 1,500 spesies dan boleh mencecah sehingga 60,000 kepupusan.

    Invertebrat merujuk kepada sebarang haiwan tanpa tulang belakang, termasuk labah-labah, cacing dan serangga.

    Woinarski menekankan kepentingan mendesak untuk mendapatkan sokongan pemuliharaan dalam kajian tersebut.

    “Perkara ini penting untuk setiap individu kerana invertebrat adalah asas kepada semua persekitaran yang sihat dan planet yang boleh dihuni. Invertebrat menyediakan pelbagai fungsi penting yang menjadi kebergantungan manusia seperti pendebungaan tanaman dan penguraian bahan organik,” katanya dalam satu kenyataan media.

    “Apabila kita kehilangan invertebrat, kesihatan tanaman, saliran air, hutan, malah taman-taman awam dan halaman belakang rumah kita akan merosot,” tambahnya.

    Para penulis kajian turut menyeru semua peringkat kerajaan di Australia serta komuniti untuk memberikan keutamaan yang lebih besar terhadap pemahaman, pemantauan dan perlindungan spesies invertebrat asli. – Xinhua

    Gambar AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda