NICE, 25 MEI – Pihak berkuasa French Riviera hari ini berkata mereka akan mempertingkatkan keselamatan di sekitar tapak grid elektrik susulan kebakaran di sebuah pencawang yang telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada 45,000 penduduk, serta insiden gangguan besar semasa Festival Filem Cannes yang dikaitkan dengan perbuatan sabotaj.
Kebakaran tersebut berlaku di sebuah pencawang elektrik di bahagian barat bandar Nice, menyebabkan gangguan bekalan elektrik di kawasan sekitar, menurut pejabat Datuk Bandar dan pendakwa tempatan.
“Kami mengecam sekeras-kerasnya serangan malam tadi terhadap pencawang elektrik di Nice,” kata Timbalan Datuk Bandar, Anthony Borre, di platform X.
Pada Sabtu, gangguan elektrik selama lima jam menjejaskan hari terakhir Festival Cannes, mematikan lampu isyarat dan mesin ATM serta memaksa penganjur menggunakan penjana sokongan.
Pegawai tempatan menyatakan kebakaran dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat terhadap pencawang dan perosakan pada tiang elektrik.
“Saya mengecam dengan tegas perbuatan jenayah ini yang menjejaskan negara kita,” kata Datuk Bandar Nice, Christian Estrosi di X selepas insiden kebakaran pencawang elektrik yang menjejaskan bandar tersebut.
Beliau turut menambah, “Dalam beberapa hari akan datang, kami akan memperkukuhkan lagi rangkaian kamera keselamatan di sekitar tapak elektrik strategik bandar ini.”
Pejabat pendakwa raya Nice memaklumkan kebakaran pencawang tersebut berlaku di daerah Moulins, Nice. – AFP
