LONDON, 17 MAC – Ribuan tong bahan api jet dilaporkan ‘hilang’ akibat kebakaran dan hentakan selepas perlanggaran antara kapal kargo dan kapal tangki yang berlabuh di Laut Utara, namun pengendali kapal menyatakan kelmarin kerosakan yang dialami adalah terhad.
Insiden yang berlaku pada 10 Mac itu membabitkan kapal Solong yang berdaftar di Portugal dan kapal tangki Stena Immaculate yang berdaftar di Amerika Syarikat (AS), kira-kira 20 kilometer dari pelabuhan Hull, England. Punca sebenar perlanggaran masih dalam siasatan.
Perlanggaran itu mencetuskan kebakaran besar di kedua-dua kapal, yang mengambil masa beberapa hari dan memerlukan usaha pemadaman berskala besar di laut terbuka untuk dikawal sepenuhnya.
Seorang kru kapal Solong, yang dikenal pasti oleh pihak pendakwa raya sebagai Mark Angelo Pernia, 38, dari Filipina, dipercayai maut dalam kejadian itu.
Pada waktu kejadian, kapal Stena Immaculate yang disewa oleh tentera AS membawa kira-kira 220,000 tong bahan api penerbangan Jet-A1, dengan sekurang-kurangnya satu tong dilaporkan pecah, menimbulkan kebimbangan dalam kalangan aktivis alam sekitar.

Namun, pemantauan selepas kejadian mendapati tiada pencemaran dikesan daripada mana-mana kapal terbabit, menurut pegawai berkaitan.
Dalam satu kenyataan, pengendali kapal tangki berpangkalan di AS, Crowley, menyatakan bahawa berdasarkan penilaian pasukan penyelamat, sebanyak 17,515 tong bahan api Jet-A1 hilang akibat hentakan dan kebakaran. Selebihnya masih berada dalam keadaan selamat.
Pasukan penyelamat turut mengesahkan bahawa kerosakan hanya terhad kepada tangki bahan api dan tangki air kapal.
Pengendali kapal turut memuji tindakan pantas dan berani kru kapal dalam mengambil langkah keselamatan kebakaran sebelum meninggalkan kapal.
Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca Solong mengubah haluan dan melanggar Stena Immaculate kira-kira lapan jam kemudian. – AFP