TBILISI, 26 FEB – Ribuan penunjuk perasaan antikerajaan mengadakan demonstrasi di ibu negara Georgia hari ini untuk menuntut pilihan raya awal setelah penangkapan seorang pemimpin tertinggi pembangkang.
Penunjuk perasaan berarak melalui jalan utama kota itu, yang dipimpin oleh para pemimpin semua parti pembangkang Georgia, mengibarkan bendera Georgia, EU dan AS, sebelum mengadakan demonstrasi di luar bangunan parlimen.
Georgia terjerumus ke dalam krisis politik berikutan penangkapan Nika Melia, pemimpin Gerakan Nasional Bersatu (UNM) pembangkang utama dan serangan polis yang ganas di ibu pejabat partinya.
“Saya berada di penjara, tetapi saya bebas,” tulis Melia dalam ucapannya kepada para penunjuk perasaan yang dibacakan di perhimpunan itu.
“Kami memperjuangkan kebebasan dan kami akan menang dalam perjuangan ini.”
Bekas negara soviet, Georgia telah menghadapi pergolakan politik sejak pilihan raya parlimen pada bulan Oktober lalu yang dianggap pembangkang sebagai dipalsukan oleh parti Dream yang berkuasa, yang mencatat kemenangan tipis.
Melia, 41, yang telah menyatukan kumpulan pembangkang yang berpecah secara tradisional di Georgia, mengecam tuduhan mencetuskan keganasan ke atasnya sebagai bermotifkan politik.
Mahkamah di Tbilisi minggu lalu memerintahkan Melia ditahan sebelum perbicaraan setelah beliau menolak untuk membayar wang jaminan yang lebih tinggi dalam kes tersebut.
Perdana Menteri Giorgi Gakharia meletak jawatan atas rancangan menahan Melia, memberi amaran ia akan meningkatkan ketegangan tetapi tetapi polis tetap bertindak dan menahannya.
Perhimpunan hari ini adalah yang terbaharu dalam sejumlah tunjuk perasaan besar-besaran yang telah dilancarkan pembangkang sejak Oktober, untuk mengecam apa yang dikatakannya adalah penindasan politik dan menuntut pilihan raya baharu. – AFP
