GUADALAJARA, 27 April – Hampir 12,000 orang turun ke jalan raya di Guadalajara kelmarin bagi menuntut perdamaian dan keadilan untuk tiga pelajar filem yang dibunuh dengan kejam dalam satu jenayah yang menggemparkan Mexico.
Lebih sebulan selepas kehilangan mereka, pihak berkuasa telah mengesahkan pada Isnin lalu bahawa Salomon Aceves Gastelum, 25, Daniel Diaz, 20, dan Marco Avalos, 20, telah diculik, diseksa dan dibunuh oleh anggota kartel dadah. Selepas itu, mayat mereka dilarutkan dengan asid.
“Perang ke atas dadah telah menyebabkan rakan kami terkorban dan kami tidak akan membenarkan ia berlaku lagi,” beritahu pemimpin pelajar Universiti Guadalajara, Jesus Medina.
Sebahagian besar penunjuk perasaan menolak acara rasmi bagi perkabungan pelajar yang terkorban itu.
“Apa yang mereka tunjukkan adalah berdasarkan petanda, ia bukan bukti saintifik yang kuat. Terdapat banyak keraguan,” kata Oscar Jaurez.

Sementara itu, isu tergempar juga kedengaran susulan pengakuan bintang YouTube dan penyanyi rap, Christian Omar Palma Gutierrez atau dikenali sebagai QBA bahawa dia telah melarutkan mayat pelajar itu dengan asid.
Gutierrez berkata dia juga menerima AS$159 seminggu bagi bekerja untuk kartel dadah Jalisco New Generation, salah sebuah kumpulan yang terkuat di Mexico.
“Orang seperti itu tidak mempunyai perasaan. Mereka lupa untuk menjadi manusia. Ia tidak mempunyai nilai,” menurut Jose Eduardo Gomez kepada AFP.
Bersama para pelajar, yang datang dari lima universiti tempatan, guru-guru dan ahli keluarga juga berarak dengan melaungkan slogan dan menyanyi bagi menuntut perdamaian.
Menurut jumlah rasmi, lebih 200,000 orang telah dibunuh dan lebih 30,000 yang lain masih hilang sejak kerajaan melancarkan serangan ketenteraan ke atas jenayah terancang pada akhir 2006, walaupun tidak diketahui insiden itu ada kaitan dengan aktiviti geng. – AFP