Wednesday, March 19, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut Ana ragut 70 jiwa

    ANTANANARIVO, 27 JAN – Angka kematian akibat ribut yang melanda tiga buah negara Afrika selatan meningkat kepada 70 orang hari ini ketika pasukan kecemasan berjuang untuk membaiki infrastruktur yang rosak dan membantu puluhan ribu mangsa.

    Dalam keadaan hujan lebat, ribut tropika Ana melanda Madagascar pada Isnin lalu sebelum bergerak ke Mozambique dan Malawi.

    Pekerja penyelamat dan pihak berkuasa di seluruh tiga buah negara masih menilai tahap kerosakan sepenuhnya.

    Madagascar telah melaporkan 41 maut, dengan 18 yang lain terkorban di Mozambique dan 11 di Malawi.

    Sisa-sisa ribut telah melewati Zimbabwe, tetapi tiada kematian dilaporkan di sana.

    Di tiga negara yang paling teruk dilanda, puluhan ribu rumah telah rosak. Ada yang roboh ketika hujan lebat, memerangkap mangsa dalam runtuhan.

    Jambatan dihanyutkan oleh sungai yang melimpah, manakala ternakan lemas dan ladang ditenggelami, memusnahkan mata pencarian keluarga luar bandar.

    Di Madagascar, 110,000 orang terpaksa meninggalkan rumah mereka. Di ibu kota Antananarivo, sekolah dan gimnasium dijadikan tempat perlindungan kecemasan.

    “Kami hanya membawa harta benda kami yang paling penting,” Berthine Razafiarisoa, yang berteduh di gim bersama 10 keluarganya, memberitahu AFP.

    Di utara dan tengah Mozambique, ribut tersebut memusnahkan 10,000 rumah, berpuluh-puluh buah sekolah dan hospital serta memutuskan talian elektrik. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda