BANGKOK, 17 APRIL – Ribut aneh di selatan Thailand menyebabkan sedozen bot nelayan karam dan membunuh sekurang-kurangnya tiga orang, tetapi lebih 100 lagi yang turut berada di laut telah ditemui, kata pegawai semalam.
Tujuh orang cedera selepas ribut mengejut di luar pantai wilayah Nakhon Si Thammarat pada pagi kelmarin menyebabkan bot-bot nelayan terbalik dan merosakkan puluhan yang lain di Teluk Thailand. Tiada kehilangan dilaporkan dalam kalangan 149 orang yang menaiki 61 bot, lapor Jabatan Perhubungan Awam wilayah.
Salah seorang mangsa terselamat, Somkid Maneewong berkata botnya bertembung ombak setinggi kira-kira 4 meter lebih kurang sejam selepas meninggalkan pantai.
Beliau memberitahu TV Channel 3 bahawa dia dan anak lelakinya yang berusia 31 tahun cuba berenang ke tempat selamat tetapi arus deras akhirnya meletihkan anaknya dan dia meninggal dunia.
Katanya lagi, beliau terkejut dengan angin dan arus yang begitu kuat sehingga “tidak dapat mengawal bot.”
Agensi pencegahan bencana wilayah mengeluarkan pengumuman yang memberi amaran kepada bot-bot nelayan kecil supaya tidak pergi ke laut sehingga hari ini, tetapi ia dikeluarkan petang kelmarin, selepas bot Somkid dan lain-lain telah menghadapi ribut.
Agensi bencana itu berkata, 10 wilayah telah terjejas oleh ribut berkenaan, termasuk Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani di selatan. – AP


