NEW YORK, 5 FEB – Siklon besar Artik yang membawa ‘gempa fros’ di sebahagian kawasan Amerika Syarikat (AS) melihat negara mencatat suhu angin sejuk paling rendah, kata ahli meteorologi semalam.
Di kemuncak Gunung Washington di negeri timur laut New Hampshire, faktor angin sejuk mencecah negatif 78 darjah Celsius semalaman, menurut Perkhidmatan Cuaca Nasional (NWS).
Pejabat perkhidmatan di bandar Gray, Maine berkata di Twitter ia mencatat rekod baharu untuk suhu angin sejuk terendah di AS.
Sementara itu, CNN melaporkan ia memecah rekod suhu yang dicatat sebelumnya pada negatif 76 darjah Celsius di Alaska.
Suhu rendah sebelumnya di Gunung Washington adalah negatif 74 darjah Celsius, dicatat di sana pada 2004, kata Saluran Cuaca.
Pada ketinggian 1,920 meter, Gunung Washington ialah kemuncak tertinggi di timur laut AS dan terkenal kerana mempunyai cuaca paling teruk di dunia.
Suhu negatif 43 darjah Celsius dan angin kencang melebihi 177 kilometer sejam menyumbang kepada tahap suhu rendah tersebut.
Menurut pejabat, mereka telah menerima laporan mengenai ‘gempa fros,’ juga dikenali ‘cryoseisms’ di kawasan itu.
“Seperti gempa bumi, ia mencetuskan gegaran, sensasi gemuruh. Ia berpunca daripada rekahan mendadak di tanah beku atau air bawah tanah apabila cuaca amat sejuk,” tulis pejabat NWS di Twitter.
Ia mengingatkan reput fros boleh berlaku pada kulit terdedah dalam masa lima
minit dalam keadaan tersebut. – AFP