Saturday, August 13, 2022
24 C
Brunei

Ribut Arwen badai UK

-

LONDON, 28 NOV – Dua terbunuh sementara ribuan kediaman terputus bekalan elektrik ketika ribut kuat membadai utara United Kingdom (UK), menurut pihak berkuasa hari ini.

Sebahagian besar pemandu kenderaan pula terkandas di jalan raya semalaman berikutan air banjir yang membeku.

Seorang wanita dalam video di Twitter, memaklumkan penerbangannya dari Paris berdepan cabaran mendarat di Manchester, ketika angin kencang melanda semalam.

Perkhidmatan meteorologi UK mengeluarkan amaran cuaca merah yang jarang berlaku ekoran ribut Arwen membawa tiupan angin hampir 160 kilometer sejam.

“Orang ramai perlu menjauhi pantai bagi mengelak ombak kuat serta serpihan yang berterbangan juga mengundang bahaya,” menurut amaran dikeluarkan Jabatan Meteorologi UK.

Menurut polis, dua lelaki maut apabila kereta mereka dihempap ​​pokok tumbang di dua lokasi berasingan di utara Ireland serta di Lake District, barat laut UK, semalam.

Angin ribut yang kuat menyebabkan 75,000 rumah masih terputus bekalan elektrik di Scotland hari ini, menurut syarikat utiliti negara itu.

Perkhidmatan kereta api ekspres juga dihentikan di utara Newcastle dan jalan ditutup disebabkan serpihan di sebahagian Scotland manakala ribut salji sejak semalam menjejaskan banyak laluan.

Salji dan pokok tumbang menyebabkan jalan terhalang di seluruh utara England dan Scotland, memaksa ramai pemandu tidur dalam kenderaan semalaman, menurut polis trafik. Biarpun angin mula reda pagi tadi, Jabatan Meteorologi UK memberi amaran cuaca akan kekal mencabar ekoran ais dan salji, dengan orang ramai disaran mengelakkan perjalanan tidak penting. – AFP

Penduduk mengalihkan dahan daripada sebatang pokok yang tumbang di Birkenhead, barat laut England pada 27 November ketika Ribut Arwen mencetuskan amaran ‘cuaca amat buruk.’ – AFP
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Dua beradik bersatu semula selepas 75 tahun

BHATINDA, INDIA, 12 OGOS – Air mata kegembiraan membasahi pipi seorang pekerja buruh India yang akhirnya bertemu abang tersayang dari Pakistan buat pertama kalinya...
- Advertisment -