BERLIN, 22 DIS – Ribut membawa hujan lebat dan angin kencang di seluruh utara Eropah semalaman hingga Jumaat, menumbangkan pokok dan mencetuskan amaran banjir di pantai Laut Utara.
Seorang wanita di Belgium cedera parah dihempap sebatang pokok Krismas yang tumbang, manakala pokok lain membunuh seorang lagi di Belanda.
Pokok Krismas sepanjang 20 meter yang tumbang menimpa tiga orang di pasar yang sibuk di Oudenaarde di barat Belgium lewat semalam, membunuh seorang wanita berusia 63 tahun dan mencederakan dua orang lain.
Penumpang kereta api di beberapa kawasan Jerman menghadapi gangguan.
Pengendali kereta api nasional Deutsche Bahn berkata hari ini terdapat pembatalan di laluan dari Hamburg dan Hannover ke Frankfurt dan Munich, manakala perkhidmatan jarak jauh dari Hamburg ke utara Kiel dan Flensburg tidak beroperasi.
Di Hamburg, Sungai Elbe membanjiri jalan-jalan di sekitar pasar ikan di bandar itu, dengan air mencecah paras pinggang di beberapa tempat.
Pihak berkuasa Jerman memberi amaran tentang ombak sehingga tiga meter atau lebih di atas purata air pasang besar di bahagian pantai Laut Utara hari ini.
Semalam, angin kencang membatalkan penerbangan di kawasan UK, menggantung perkhidmatan kereta api dan menghentikan feri Scotland. – AP


