MAMOUDZOU, 12 JAN – Penduduk wilayah Perancis Mayotte bersiap sedia hari ini untuk menghadapi ribut yang dijangka membawa angin kencang dan banjir kilat kurang dari sebulan selepas kepulauan Lautan Hindi itu dilanda taufan yang meragut nyawa.
Mayotte telah diletakkan dalam amaran merah mulai 1900 GMT pada Sabtu sebagai persiapan untuk kemunculan Dikeledi, sebuah ribut yang diramalkan akan melintasi kira-kira 100 kilometer di selatan wilayah tersebut.
Ribut itu melanda pantai utara Madagascar sebagai taufan pada petang Sabtu dan kemudian melemah menjadi ribut tropika yang teruk, tetapi dijangka akan menguat semula semasa ia bergerak ke arah Mayotte.
Ia dijangka akan diklasifikasikan semula sebagai taufan menjelang pagi Isnin, menurut perkhidmatan cuaca Perancis, Meteo-France.
Pada sekitar pukul 6 pagi waktu tempatan, ribut itu berada kira-kira 260 kilometer di tenggara Mayotte, bergerak dengan kelajuan 22 kilometer per jam.
“Dari segi impak, wilayah Antsiranana di Madagascar telah mengalami keadaan yang paling teruk dalam beberapa jam kebelakangan ini,” kata Meteo-France, merujuk kepada hujung utara pulau tersebut. – AFP
