WASHINGTON, 6 APRIL – Ribut kuat yang melanda kawasan tengah dan timur Amerika Syarikat telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa, menurut pihak berkuasa. Manakala Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) mengeluarkan amaran banjir kilat ‘teruk’ dalam beberapa hari yang akan datang.
Rangkaian ribut kuat yang melanda dari Arkansas hingga ke Ohio sejak beberapa hari lalu telah mengakibatkan kerosakan teruk, termasuk kemusnahan struktur bangunan, banjir kilat, dan puluhan puting beliung yang membadai kawasan terbabit.
Negeri Tennessee turut mencatatkan jumlah korban paling tinggi apabila pihak berkuasa mengesahkan sekurang-kurangnya 10 kematian di bahagian barat negeri itu sejak Sabtu.
Di Kentucky, dua individu maut akibat banjir, termasuk seorang kanak-kanak yang “dihanyutkan air deras,” menurut Gabenor Andy Beshear.
Gambar-gambar yang dikongsi melaui media sosial dan media tempatan menunjukkan kerosakan meluas di beberapa negeri, termasuk rumah ranap, pokok tumbang, talian elektrik terputus dan kereta terbalik.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) memberi amaran banjir kilat yang teruk dan meluas dijangka berterusan sehingga Ahad di beberapa kawasan di wilayah tengah-timur Amerika Syarikat, sambil menegaskan bahawa “nyawa dan harta benda berada dalam bahaya besar.”
Dua kematian berkaitan ribut turut direkodkan di Missouri dan satu lagi di Indiana, menurut laporan media tempatan dan pihak berkuasa.
Selain itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun telah ditemui maut di slah sebuah rumah di Little Rock, Arkansas, “berkaitan cuaca buruk yang sedang berlaku,” menurut agensi pengurusan kecemasan negeri itu.
Lebih 100,000 pengguna di Arkansas dan Tennessee dilaporkan terputus bekalan elektrik pada awal Ahad, menurut laman penjejakan PowerOutage.us.
Perkhidmatan Kajicuaca Kebangsaan (NWS) turut mengeluarkan amaran kepada beberapa buah kawasan di Lembah Tennessee dan Lembah Lower Mississippi berisiko mengalami puting beliung sederhana hingga teruk serta ribut petir kuat hari Ahad. – AFP