RIYADH, 23 OGOS – Ribut kuat telah mendorong sekolah-sekolah ditutup hari ini di wilayah Mekah, Arab Saudi, tempat tapak suci agama Islam, Masjidil Haram, yang dilanda hujan lebat dan angin semalaman, kata saksi.
Ketika jemaah haji cuba mengelilingi Kaabah, di mana semua umat Islam mengerjakan solat, kilat menyambar hotel ikonik Fairmont Makkah Clock Royal Tower, menerangi langit malam lewat kelmarin.
Ribut itu membawa angin kencang dengan kelajuan lebih 80 kilometer sejam, beritahu Hussein al-Qahtani, jurucakap Pusat Meteorologi Kebangsaan, kepada AFP.
Keadaan itu serupa dengan ribut 2015 yang menumbangkan sebuah kren di Masjidil Haram, membunuh lebih 100 orang dan mencederakan ratusan lagi, kata Qahtani.
Tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dalam ribut semalam.
Penduduk Mekah, Abu Mayyada memberitahu AFP dia keluar membeli rokok dan petrol apabila ‘segala-galanya menjadi gelap di hadapan saya’ ketika ribut yang paling teruk melanda.
“Tiba-tiba saya hilang kawalan ke atas kenderaan. Saya tidak nampak apa-apa jadi saya mula mendengarkan bacaan Al-Quran di radio. Saya tidak faham apa yang berlaku,” katanya.
Kawasan jiran Mekah di Al-Kakkiyah merekodkan 45 milimeter hujan dalam tempoh 24 jam, kongsi pusat kaji cuaca dalam catatan di X.
Rakaman yang dikongsi dengan AFP oleh penduduk Mekah menunjukkan jemaah haji di luar Masjidil Haram yang jatuh oleh tiupan angin, yang turut menyebabkan penghadang orang ramai meluncur di atas lantai yang licin akibat hujan.
“Kejadian itu amat menakutkan,” kata penduduk Mekah Mohammed, yang membeli barang runcit semasa ribut melanda. – AFP