PARIS, 26 JUN – Dua orang maut dan 17 lagi cedera dalam kejadian ribut lebat di Perancis yang meranapkan pokok, menyebabkan banjir di jalan-jalan Paris serta mengakibatkan bumbung Parlimen bocor ketika Perdana Menteri sedang berucap.
“Awda perasan tak yang hujan sedang turun?” kata Perdana Menteri, François Bayrou sambil memandang ke arah siling berkubah Dewan Negara yang bocor, sejurus selepas menyampaikan ucapan mengenai Timur Tengah ketika hujan lebat membanjiri jalan raya utama Paris pada petang kelmarin.
Naib Presiden Dewan, Roland Lescure, kemudian menangguhkan sesi perbahasan bagi membolehkan anggota bomba memeriksa masalah tersebut. Apabila sesi disambung kira-kira 15 minit kemudian, Lescure memberitahu ahli dewan bahawa tikar penyerap digunakan untuk menampal kebocoran itu.
Agensi pertahanan awam Perancis memaklumkan seorang individu mengalami kecederaan parah dalam ribut yang melanda negara itu selepas dilanda gelombang haba. Agensi itu turut melaporkan bekalan elektrik terputus kepada 110,000 buah rumah.
Menurut media tempatan, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun maut akibat dihempap pokok tumbang di barat daya Perancis manakala seorang lelaki maut apabila kenderaan ATV yang ditunggangnya melanggar pokok tumbang di bahagian barat laut negara itu. – AP
