Saturday, November 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut Elias landa Volos di Greece

    VOLOS, GREECE, 28 SEPT – Ribut kuat kedua dalam tempoh kurang dari sebulan melanda sebahagian besar tengah Greece hari ini, merosakkan jalan raya, meruntuhkan jambatan dan menyebabkan ribuan rumah ditenggelami air.

    Ribut yang dikenali sebagai Elias itu, mengakibatkan banjir teruk di pusat bandar Volos dan mencederakan ratusan orang yang terperangkap di perkampungan pergunungan berdekatan. Perkhidmatan bomba telah menjalankan pelbagai operasi penyelamatan dan pemindahan, menurut pihak berkuasa.

    “Keseluruhan Volos kini berubah menjadi seperti tasik,” kata Datuk Bandar bandar itu, Achilleas Beos, kepada televisyen negeri.

    “Nyawa penduduk berada dalam bahaya. Saya sendiri terperangkap dan 80 peratus bandar ini mengalami gangguan bekalan elektrik. Saya tidak tahu dari mana air datang begitu banyak. Seperti kisah Bahtera Nabi Nuh,” katanya.

    Cuaca buruk pada awal bulan ini telah melanda kawasan yang sama, meragut 16 nyawa, dan menimbulkan kerosakan lebih daripada AS$2.3 bilion kepada ladang dan infrastruktur.

    Penduduk di Volos menggunakan baldi plastik untuk membersihkan lumpur dari rumah mereka demi melindungi harta benda. Antaranya termasuk seorang warga emas, Apostolis Dafereras, 83, yang tinggal di pinggir bandar itu sejak 1955.

    “Saya belum pernah melihat kejadian seperti ini,” kata Dafereras sambil cuba membersihkan lumpur dan air banjir dari rumahnya.

    Pihak berkuasa menyatakan bahawa kerosakan terburuk dilaporkan di sekitar Volos dan di bahagian utara pulau Evia yang berdekatan, kawasan yang rentan kepada banjir akibat impak kebakaran hutan besar dua tahun lalu. – AP

    Seorang lelaki membersihkan lumpur di luar rumahnya di jalan yang ditenggelami air di Volos, Greece pada 28 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda