BOULDER, 25 MAC – Pusat Ramalan Cuaca Angkasa NOAA di Boulder, Colorado, telah mengeluarkan amaran ribut geomagnetik sehingga hari ini, mengatakan ledakan plasma daripada suar suria boleh mengganggu siaran radio di Bumi dan mungkin menghasilkan pemandangan aurora yang menakjubkan.
Tiada sebab orang ramai perlu bimbang, menurut amaran yang dikeluarkan Sabtu lalu oleh Pusat Ramalan Cuaca Angkasa NOAA di Boulder, Colorado.
Ribut itu boleh mengganggu penyiaran radio frekuensi tinggi, seperti oleh pesawat yang cuba berkomunikasi dengan menara kawalan trafik yang jauh. Kebanyakan pesawat komersial boleh menggunakan transmisi satelit sebagai sandaran, kata Jonathan Lash, peramal di pusat itu.
Pengendali satelit mungkin menghadapi masalah menjejaki kapal angkasa mereka, dan grid kuasa juga boleh mengalami ‘arus teraruh’ dalam talian mereka, walaupun ia bukan sesuatu yang tidak dapat ditangani mereka, katanya.
“Bagi orang awam, jika awda mempunyai langit cerah pada waktu malam dan awda berada di latitud yang lebih tinggi, ini akan menjadi peluang yang baik untuk melihat langit cerah,” kata Lash.
Setiap 11 tahun, medan magnet matahari bertukar, bermakna kutub utara dan selatannya bertukar kedudukan. Aktiviti suria berubah semasa kitaran itu, dan ia kini hampir paling aktif, dipanggil solar maksimum.
Pada masa sedemikian, ribut jenis geomagnet yang tiba kelmarin boleh melanda Bumi beberapa kali setahun, kata Lash. Semasa solar minimum, beberapa tahun mungkin berlalu antara ribut.
Pada bulan Disember, suar suria terbesar dalam beberapa tahun telah mengganggu komunikasi radio. – AP