Monday, May 12, 2025
31.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut hujan batu musnahkan bumbung Aztec

    BANDAR MEXICO, 29 APRIL – Bumbung tapak bersejarah paling penting di Bandar Mexico Aztec telah roboh sebahagiannya dalam ribut hujan batu, kata pegawai, sehari selepas zon arkeologi di ibu negara dibuka semula daripada penutupan pandemik.

    Bumbung moden itu, dibuat daripada panel besi dan akrilik, dipasang untuk melindungi puing-puing purbakala di bawahnya.

    Sejauh mana kerosakan yang dialami Templo Mayor yang terkenal di zon bersejarah bandar semalam masih tidak jelas, walaupun pakar arkeologi berkata ia tidak serius.

    “Meskipun kemalangan bersifat luar biasa, kerosakan terhadap warisan arkeologi tidaklah besar,” kata Leonardo Lopez Lujan, pengarah Projek Templo Mayor.

    Satu individu cedera tetapi tidak perlu dimasukkan ke hospital selepas perobohan separa struktur dalam ribut hujan batu tersebut, menurut pejabat pentadbiran tempatan.

    Gambar yang tular di media sosial menunjukkan askar mengawal kawasan yang telah ditutup kepada orang ramai di mana bumbung, bersama sebahagian pagar di tapak, telah dimusnahkan.

    Dibina dan dibangunkan semula sepanjang abad ke-14 dan 15, Templo Mayor merupakan pusat ibu negara Aztec dan dipercayai tapak kepada kebanyakan pengorbanan manusia.

    Bangunan agama itu dimusnahkan apabila penakluk Sepanyol membakar Tenochtitlan pada 1521 dan membina semula sebuah bandar jajahan di atasnya.

    Ahli arkeologi pertama menemui tempat suci itu pada 1914, tetapi puing tidak digali sehingga tahun 1970.

    Pusat bersejarah Bandar Mexico itu dinamakan sebagai tapak warisan UNESCO pada 1987. – AFP

    Seorang askar berdiri mengawal tapak arkeologi Aztec Templo Mayor, dimusnahkan akibat hujan lebat di Bandar Mexico pada 28 April 2021. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda