MIAMI, 29 OGOS – Ribut Idalia berubah menjadi taufan hari ini apabila ahli kaji cuaca meramalkan ia akan meningkat menjadi ‘sangat berbahaya’ sebelum mendarat di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS).
“Idalia kini menjadi taufan. Dijangka akan menjadi taufan besar yang sangat berbahaya sebelum mendarat esok,” kata Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) dalam nasihat awam 0900 GMT.
Taufan besar biasanya pada Kategori 3 atau lebih tinggi pada skala lima Saffir-Simpson – ribut yang menurut NHC boleh menyebabkan kerosakan, kemusnahan dan malapetaka.
Pada masa kenyataan tersebut, Idalia berada kira-kira 370 batu di selatan-barat daya Tampa, Florida dan membawa angin berkelajuan maksimum 75 batu sejam.
Gabenor Florida, Ron DeSantis memberi amaran ribut boleh memberi kesan besar di sepanjang Teluk Mexico, memberitahu sidang akhbar kelmarin bahawa pemindahan akan berlaku dan penduduk harus bersiap sedia.
Presiden AS, Joe Biden bercakap dengan DeSantis awal kelmarin dan meluluskan pengisytiharan tergempar bagi negeri itu, menjanjikan ia akan mendapat sokongan penuhnya, kata jurucakap Rumah Putih.
Pelbagai amaran NHC telah dilaksanakan di Florida, Georgia dan Carolina Selatan ketika perairan Teluk Mexico yang panas mempercepatkan ribut tersebut.
“Terdapat risiko banjir kilat yang mengancam nyawa di sepanjang bahagian Pantai Teluk Florida termasuk Teluk Tampa dan wilayah Big Bend di Florida,” kata NHC dalam nasihat terbaharunya. – AFP