SYDNEY, 24 DIS – Terdapat gangguan kepada penerbangan di Lapangan Terbang Sydney apabila ribut melanda bandar itu petang ini, menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan, lapor media tempatan.
Kawalan trafik udara mengenakan hentian darat pada semua penerbangan ke Sydney sejurus sebelum jam 5 petang selama kira-kira satu jam, menurut penyiar Australian ABC News.
Jurucakap Qantas berkata, 20 buah penerbangan dilencongkan ke Melbourne dan Canberra, di mana mereka akan mengisi minyak sebelum kembali ke Sydney.
Terdapat juga kelewatan penerbangan akibat gangguan itu manakala jalan di sekitar lapangan terbang domestik dinaiki air, menjejaskan lalu lintas, kata ABC
News.
Jurucakap Lapangan Terbang Sydney berkata, lapangan terbang itu akan terus beroperasi seperti biasa, tetapi penumpang perlu mengambil banyak masa bagi perjalanan ke lapangan terbang dan menyemak dengan syarikat penerbangan mengenai status penerbangan mereka.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri New South Wales (NSW) menjalankan 20 penyelamatan banjir di seluruh Sydney dan menerima 30 laporan tentang rumah yang telah ditenggelami air di pinggir selatan bandar Pagewood, lapor akhbar Sydney Morning Herald.
Perkhidmatan Kecemasan Negeri bertindak balas terhadap 94 kejadian lain dalam tempoh 24 jam yang lalu melibatkan bangunan, jalan raya dan rumah yang dinaiki air, lapor akhbar itu. – Xinhua


