MIAMI, 1 SEPT – Ribut tropika baharu telah dikesan kelmarin di Lautan Pasifik timur, lebih seribu batu dari pantai Mexico, namun ribut itu tidak menimbulkan sebarang ancaman kepada daratan.
Ribut Tropika Kiko terbentuk pada pagi kelmarin dan dijangka akan bertukar menjadi taufan minggu ini, menurut Pusat Taufan Kebangsaan AS di Miami dan pusat berkenaan tidak mengeluarkan sebarang amaran atau pemantauan pantai.
“Kekuatan dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang dan sistem ini diramal menjadi taufan menjelang esok,” kata pusat taufan tersebut.
Pusat ribut tersebut terletak kira-kira 1,760 kilometer ke barat daya hujung selatan Baja California. Kelajuan maksimum angin berterusan direkodkan pada 65 ksj dan ribut itu bergerak ke arah barat pada kelajuan 15 ksj.
Ribut tropika mempunyai kelajuan angin antara 63 ksj hingga 117 ksj dan akan dikategorikan sebagai taufan apabila kelajuan angin mencapai 119 ksj. – AP


