MUZAFFARABAD, 28 MEI – Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 43 cedera apabila ribut kuat dan kilat mencetuskan banjir kilat serta memusnahkan rumah di kawasan tengah dan utara Pakistan, menurut pegawai hari ini.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Negeri, empat wanita dan seorang lelaki maut di Kashmir, manakala tiga lagi terkorban di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa. Dua kematian turut dilaporkan di Punjab.
“Seorang masih dilaporkan hilang,” kata pegawai kanan kerajaan di Kashmir, Haroon Rasheed kepada AFP, sambil menambah 12 buah rumah dan sebuah masjid musnah di sebuah kampung.
Ribut pada Sabtu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan lebih 100 lagi di seluruh negara yang kini berdepan kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap akibat perubahan iklim.
Cuaca buruk dijangka berterusan di bahagian utara dan tengah Pakistan sehingga Sabtu, menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan.
Gelombang haba luar biasa pada April dan Mei semakin menjadi fenomena biasa di Pakistan yang lazimnya memasuki musim panas pada awal Jun.
Suhu mencecah hampir 46.5 darjah Celsius di beberapa kawasan di Punjab bulan lalu. Sekolah-sekolah di wilayah Punjab dan Balochistan turut ditutup lebih awal untuk cuti musim panas berikutan cuaca panas terik. – AFP


