Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ribut paling kuat badai Norway

    DENMARK, 1 FEB – Penduduk di tengah Norway bangun dalam keadaan kucar-kacir dan rumah tanpa bekalan elektrik hari ini berikutan ribut paling kuat di negara itu dalam tempoh lebih tiga dekad.

    Angin kencang taufan melanda sebahagian negara Scandinavia, dengan tiupan sehingga 180 kilometer sejam.

    Berhampiran Laerdal, sebuah bandar kecil yang indah di timur laut Bergen, bandar kedua terbesar di Norway, sebuah bas dengan 14 penumpang terbabas dari jalan raya, walaupun tiada kecederaan dilaporkan, kata polis.

    Beberapa kawasan dilanda banjir dan syarikat penerbangan serta pengendali feri menangguhkan perkhidmatan buat sementara waktu. Terdapat laporan mengenai sekolah, jalan raya, terowong dan jambatan yang ditutup pada Rabu dan Khamis.

    Angin taufan yang kencang juga dilaporkan semalaman di Sweden. Institut Meteorologi dan Hidrologi Sweden mengeluarkan amaran merah untuk kawasan barat daerah Norrbottens, yang bersempadan dengan Norway.

    Ribut itu, dinamakan Ingunn oleh ahli meteorologi Norway, mendarat di tengah Norway pada petang Rabu sebelum bergerak ke utara hari ini.

    Institut Meteorologi telah mengeluarkan amaran merah, amaran tertingginya, untuk wilayah Artik.

    Beberapa tingkap tercabut diterbang keluar dari sebuah hotel di Bodoe, sebuah bandar besar di daerah Nordland, kata polis. Pusat bandar Bodoe kemudian ditutup kerana ‘timbulnya ancaman kepada nyawa dan kesihatan,’ menurut polis.

    Bjornar Gaasvik, jurucakap polis di wilayah Troendelag, memberitahu agensi berita Norway NTB bahawa agensi keselamatan awam menerima antara 40 dan 50 laporan semalam daripada orang yang terjejas akibat ribut dan lebih banyak lagi dijangka hari ini. – AP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda