LIMA, 1 OGOS – Tiupan angin kencang yang berpunca daripada antisiklon Pasifik Selatan telah mencetuskan ribut pasir dan debu besar di selatan Peru kelmarin, sehingga mengejutkan penduduk di kawasan pesisir, menurut pihak berkuasa.
Perkhidmatan cuaca kebangsaan Peru turut memaklumkan, hembusan angin telah mencecah sehingga 50 kilometer sejam di wilayah Ica, kira-kira 400 kilometer di selatan bandar Lima.
Ribut di Ica menyebabkan lalu lintas di lebuh raya terhenti dan aktiviti pelancongan terganggu selama tiga jam.
Kesan fenomena cuaca luar biasa itu turut dirasai di wilayah Arequipa, Moquegua dan Tacna, sempadan Chile, dengan kelajuan angin mencecah sehingga 32 kilometer sejam.
Angin kencang yang hampir sama turut direkodkan di bandar Lima yang menyebabkan beberapa pokok tumbang.

“Fenomena itu berpunca daripada antisiklon Pasifik Selatan yang semakin kuat dan kini berada sangat hampir dengan benua, menyebabkan tiupan angin kencang di permukaan,” kata Rosario Julca daripada perkhidmatan cuaca kebangsaan kepada saluran televisyen Canal N.
“Antisiklon ialah putaran arah jam di Lautan Pasifik yang, apabila menghampiri daratan, meningkatkan kelajuan angin,” tambahnya.
Menurut Julca, kewujudan angin yang turun secara tiba-tiba, digabungkan dengan keadaan muka bumi pada padang pasir, telah mencetuskan kejadian ribut debu secara mendadak dan besar-besaran.
Agensi cuaca turut meramalkan ‘peningkatan kelajuan angin dari tahap sederhana ke kuat’ dan akan berterusan sepanjang kawasan pesisir Peru sehingga Ahad.
Pusat Operasi Kecemasan Kebangsaan memaklumkan pihak berkuasa tempatan sedang menilai tahap kerosakan. – AFP

