PERANCIS, 21 MEI – Tiga orang maut, termasuk pasangan berusia 80an, apabila ribut petir melanda tenggara Perancis kelmarin, yang disifatkan oleh seorang pegawai bagai ‘babak dalam peperangan.’
Menurut pihak berkuasa tempatan, pasangan warga emas itu meninggal dunia di bandar tepi laut Le Lavandou dan seorang lagi di bandar Vidauban.
Kenderaan pasangan itu dihanyutkan air banjir yang deras.
Manakala mayat wanita itu pula masih terperangkap di dalam serpihan, kata Pendakwa Raya Toulon, Samuel Finielz kepada AFP.
Siasatan telah dijalankan untuk menentukan punca kematian, katanya, sambil menambah keadaan di tempat kejadian adalah sangat sukar.

Datuk Bandar Le Lavandou, Gil Bernardi, menggambarkan keadaan seperti dalam peperangan, jalan raya tersekat dan jambatan runtuh.
“Ia adalah fenomena yang sangat ekstrem,” beritahu Bernardi kepada televisyen BFM.
“Tiada apa-apa lagi, tiada elektrik, air minuman dan loji rawatan kumbahan,” tambahnya.
Sementara itu, di Vidauban, seorang pegawai tempatan menarik keluar seorang pemandu dari kenderaannya tetapi penumpang itu tidak dapat diselamatkan.
“Seorang pemandu dan penumpangnya memandu ke jalan perkampungan yang tenggelam sepenuhnya dan kereta itu jatuh ke dalam sungai,” kata Datuk Bandar, Claude Pianetti, di Facebook.
Hujan batu dan hujan lebat turut melanda barat daya Perancis sehari sebelumnya, menenggelami kediaman, merosakkan landasan kereta api dan memaksa ratusan penumpang dipindahkan dari kereta api TGV berkelajuan tinggi pada tengah malam. – AFP