OKLAHOMA, 21 APRIL – Sistem ribut aktif yang bergerak perlahan membawa hujan lebat, hujan batu besar dan puting beliung ke beberapa kawasan di Texas dan Oklahoma, menyebabkan tiga orang maut. Manakala amaran cuaca buruk kelmarin terus mengancam sebahagian selatan dan barat Amerika Syarikat.
Kelmarin, komuniti di Texas dan Oklahoma mula menilai kerosakan yang berlaku akibat puting beliung.
Menurut ketua peramal dari Pusat Ramalan Cuaca Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS), Bob Oravec, terdapat 17 kejadian yang dilaporkan pada Sabtu.
Lima daripadanya disahkan berlaku di selatan tengah Oklahoma, termasuk satu yang menyebabkan kerosakan besar di sebuah pekan kecil yang masih dalam proses pemulihan akibat puting beliung pada Mac.
Ribut juga membawa hujan lebat ke kawasan luas dari utara tengah Texas sehingga ke kawasan timur tengah Oklahoma, dengan hujan antara 2 hingga 4 inci pada Sabtu sehingga Ahad.
Polis di Moore, kira-kira 16 kilometer di selatan bandar Oklahoma, menerima puluhan laporan kejadian banjir termasuk dua kereta yang terperangkap dalam air pada petang Sabtu.
Sebuah kereta dihanyutkan di bawah jambatan, dan walaupun beberapa orang berjaya diselamatkan, seorang wanita dan seorang budak lelaki berusia 12 tahun ditemui mati. NWS turut melaporkan tinjauan awal yang menunjukkan puting beliung itu akan datang dengan kelajuan 177km/j. – AP
