Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Ribut salji, angin kencang landa Slovenia

    LJUBLJANA, SLOVENIA, 23 JAN — Ribut salji yang membawa angin kencang telah mencetuskan huru-hara lalu lintas di sepanjang lebuh raya utama dan jalan lain di Slovenia kelmarin, serta mengakibatkan sebahagian negara itu terputus bekalan elektrik buat sementara waktu.

    Pegawai berkata, salji yang turun petang kelmarin telah menyebabkan puluhan kemalangan jalan raya semalaman dengan pokok tumbang menghalang jalan raya dan memutuskan kabel elektrik, termasuk di ibu negara, Ljubljana.

    Pihak berkuasa menggesa rakyat Slovenia supaya tidak membuat perjalanan melainkan benar-benar perlu. Barisan kereta yang panjang terus memenuhi banyak jalan raya di seluruh negara kelmarin kerana keadaan cuaca yang buruk.

    Lebuh raya yang menghubungkan tepi pantai Adriatik dengan Ljubljana tersekat di beberapa kawasan kerana angin kencang. Kenderaan berat telah diharamkan di jalan raya yang terjejas di negara Alpine berkenaan.

    Pakar meteorologi berkata salji dijangka berkurangan menjelang esok.

    Kereta dilihat sedang melalui jalan raya yang dilitupi salji di Kocevje, berdekatan Ljubljana, Slovenia, kelmarin. – AP

    Angin kencang hujung minggu lalu mendorong anggota bomba menghulurkan bantuan kepada kira-kira 200 panggilan kecemasan di negara jiran, Croatia.

    Salji turut mengganggu lalu lintas di Croatia hari ini selepas menyelubungi sebahagian pantai Adriatik dan beberapa pulau Croatia.

    Kebanyakan laluan feri dihentikan kelmarin akibat angin kencang, menyebabkan sebahagian besar pulau Croatia terputus hubungan, lapor saluran televisyen negeri, HRT.

    Di ibu kota, Zagreb, angin kencang mengakibatkan perancah di sekeliling bangunan yang sedang diubah suai runtuh, namun tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

    Salji lebat dan angin kencang di utara menyebabkan lalu lintas di wilayah pergunungan Gorski Kotar terhenti, menurut HRT.

    Masalah dengan bekalan elektrik di kampung terpencil dilaporkan berlaku di selatan negara jiran, Montenegro, berikutan salji lebat pada hujung minggu.

    Negara-negara Balkan minggu lalu bergelut dengan banjir yang disebabkan oleh hujan lebat. Banyak sungai melimpah, membanjiri rumah dan ladang serta menyebabkan tanah susur. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...